Thursday, 19 April 2012

Islam itu bersifat universal

Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa Islam merupakan agama yang bersifat universal ('alamiyyah). Ia diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia, ia tidak membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih mahupun hitam. Islam tidak pernah sekali-kali mengajak kepada sifat 'ketaksuban' bahkan Islam mengizinkan bukan Islam untuk bersama-sama tinggal di tanahair yang satu dengan penuh aman dan bahagia. Al-Qur'an al-Karim dengan jelas menyatakan secara berulang kali bahawa Islam merupakan agama yang bersifat 'universal' sehingga mengulang sebanyak lebih 70 kali kalimah al-'alamin yang membawa maksud alam sejagat atau sekalian alam. Menurut Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya kalimah al-'alamin merupakan perkataan jamak bagi alam yang bermaksud semua yang wujud melainkan Allah SWT. Antara sumber wahyu yang merakamkan kenyataan ini adalah firman Allah SWT di dalam surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud: "Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam". Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya di dalam ayat ini Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Muhammad sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat. ni jelas menunjukkan bahawa setiap muslim perlu sedar dan insaf bahawa tanggungjawab mereka begitu besar kerana menganuti suatu agama wahyu yang melampaui segala fahaman mahupun doktrin kepercayaan manusia apalagi istilah moden yang sering mengaitkan agama dengan tabiat tertentu sama ada inklusif ataupun eksklusif.

Kezaliman Berleluasa Di Akhir Zaman

Riwayat: Bukhari

Hadith: 
Daripada az-Zubair bin Adi katanya, “Kami telah menemui Anas bin Malik RA (di Basrah) mengadu beberapa hal mengenai tindakan (kezaliman) al-Hajaj, jawab Anas RA, “Bersabarlah kamu sekalian, kerana bahawa sesungguhnya keadaan zaman yang akan datang lebih buruk lagi daripada zaman sebelumnya sehinggalah kamu menemui ajal (menemui mati). Keterangan ini aku dengar daripada Nabi SAW.”
Huraian Hadith: 
  1. Masa yang akan datang lebih berat bagi manusia daripada masa yang berlalu.
  2. Keburukan akan berleluasa pada akhir zaman.
  3. Seseorang adalah di kehendaki bersegera dan berlumba-lumba beramal dan melakukan kebajikan kerana keadaan pada hari yang lepas lebih baik daripada hari yang akan datang.
  4. Seseorang hendaklah menerima dengan sabar dan menghadapi dengan tenang apabila berlaku suatu kezaliman.

Thursday, 5 April 2012

PERANG-PERANG YANG BENAR

Islam bukan agama peperangan. Namun pada ketika Islam diancam, Islam adalah agama yang mengangkat perang sebagai sesuatu yang suci.

Perang dalam Islam bermula apabila musyrikin Mekah merancang membunuh Nabi Muhammad SAW, sehingga beliau terpaksa keluar Mekah, maka bermulalah sejarah perang dalam Islam.

Kemudian turunlah ayat 36 Surah At-Taubah yang bermaksud, "...dan perangilah kaum kafir musyrikin seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya". Ini adalah kerana, Nabi Muhammad SAW hanya mahu memerangi kaum Quraisy Mekah tetapi ramai kaum lain dari kota Mekah menyertai kaum Quraisy Mekah bagi memerangi orang islam.

tujuan perang dalam Islam pun berkembang. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang direkod oleh Bukhari dan Muslim., bermaksud, "Aku disuruh memerangi manusia sehingga mereka berkata tidak ada tuhan selain ALLAH, dan mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat. Apabila meeka berkata demikian, darah dan harta mereka terselamat daripadaku kecuali dengan haknya. Dan pelindungannya terserah pada ALLAH".

Pada suatu hari, turun ayat 58 Surah Al anfal yang bermaksud, "Dan jika kamu mengetahui adanya perbuatan khianat daripada sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu), maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang kianat".