Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa Islam merupakan agama yang bersifat universal ('alamiyyah). Ia diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia, ia tidak membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih mahupun hitam. Islam tidak pernah sekali-kali mengajak kepada sifat 'ketaksuban' bahkan Islam mengizinkan bukan Islam untuk bersama-sama tinggal di tanahair yang satu dengan penuh aman dan bahagia. Al-Qur'an al-Karim dengan jelas menyatakan secara berulang kali bahawa Islam merupakan agama yang bersifat 'universal' sehingga mengulang sebanyak lebih 70 kali kalimah al-'alamin yang membawa maksud alam sejagat atau sekalian alam. Menurut Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya kalimah al-'alamin merupakan perkataan jamak bagi alam yang bermaksud semua yang wujud melainkan Allah SWT. Antara sumber wahyu yang merakamkan kenyataan ini adalah firman Allah SWT di dalam surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud: "Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam". Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya di dalam ayat ini Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Muhammad sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat. ni jelas menunjukkan bahawa setiap muslim perlu sedar dan insaf bahawa tanggungjawab mereka begitu besar kerana menganuti suatu agama wahyu yang melampaui segala fahaman mahupun doktrin kepercayaan manusia apalagi istilah moden yang sering mengaitkan agama dengan tabiat tertentu sama ada inklusif ataupun eksklusif.
No comments:
Post a Comment